Selesai darjah 6 dan lulus peperiksaan agak cemerlang....saya diterima masuk ke Sekolah Menengah Tun Teja, Durian Daun, Melaka pada tahun 1967 ke tingkatan 1.
Hari pertama persekolahan saya bertolak dari rumah seawal 6.00 pagi bersama abah dengan menaiki 'teksi sapu' ke Durian Daun. Hari itu hari pertama saya ke sekolah menengah, hanya abah yang menemani saya. Itu pun abah tidak boleh tunggu lama kerana terpaksa balik bekerja semula. Mak pula tidak dapat meluangkan masa kerana sekolah tempat mak mengajar juga sibuk menerima pelajar rendah baru.
Saya tidak berkecil hati tetapi rasa sedikit sedih apabila melihat kawan-kawan dalam kelas yang sama tingkatan ditemani oleh emak dan ayah mereka. Ada juga yang datang bersama adik-beradik. Saya sedar bahawa saya telah 'ter'asuh dan diasuh agar tabah untuk menghadapi segala situasi. Saya dah terbiasa berkeadaan seperti itu. Walaupun hati saya sepi tapi masih gembira sebab dapat berkenalan dengan kawan-kawan baru. Mereka datang dari seluruh pelusuk Melaka...ada yang dari Teluk Mas, Kandang, Bukit Lintang, Bukit Beruang, Air Molek, Bukit Cina, Peringgit, Klebang Besar, Klebang Kecil, Batang Tiga dan Sungai Udang yang sejauh 12 batu dari Bandar Melaka itu pun ada.
Uniknya sekolah ini hanya menerima pelajar-pelajar perempuan saja. Murid-murid semua berbaju kurung putih dan kain berwarna merah jambu. Saya rasa bangga sebab mak mampu sediakan dua helai uniform sekolah buat saya ketika itu .
Pada tahun 60'an, kain jenis kapas adalah paling murah. Itupun mak jahit sendiri sebab tak mampu untuk diupah. Ada juga di antara kawan-kawan saya yang baju sekolah mereka dari kain jenis 'tateron' (entah betul entah tidak ejaannya saya tidak pasti). Harganya satu ela agak mahal dan ia dari jenis yang lembut dan senang digosok.
Setiap hari perjalanan pulang dari sekolah amat meletehkan. Saya perlu naik 'town bus' (hijau/putih) untuk ke stesen bas yang terletak di Jalan Hang Tuah. Dari stesyen bas saya akan naik bas 'Putt Hup' (biru/kuning) yang menuju ke Kem Trendak di Sungai Udang atau bas yang destinasinya terus ke Sungai Baru. Saya turun di Pekan Tanjung Kling dan terpaksa berjalan kaki 1 km lagi untuk sampai ke rumah. Kira-kira pukul 2.30 petang hingga 3.00 petang barulah saya sampai dirumah.
Jika ada kelas tambahan, saya dan kawan-kawan yang tidak dijemput oleh emak atau ayah mereka, akan berjalan kaki beramai-ramai sejauh 2 km untuk sampai ke stesyen bas. Kami lalu celah-celah rumah bandar yang sesak, kaki lima kedai-kedai tepi jalan besar, merentas kampong Morten dan akhirnya menyeberang Sungai Melaka terus ke stesyen bas.
Di rumah, penat saya tidak berakhir setakat itu saja....tak sempat berihat sekejap, mak dah menjerit suruh ke perigi mengambil air. Tugas saya saban hari ialah penuhkan 6 biji tempayan besar di dapur. Entah berapa kali saya akan berulang alik mengangkut air dengan mengandar dua biji tin minyak gas. Air ini yang kami gunakan untuk memasak, mencuci pinggan mangkuk dan lain-lain. Air minuman saya angkut dari paip rumah jiran yang mak beli dan bayar bulanan. Lepas itu saya akan bantu mak memasak. Jam 4.00 petang barulah kami dapat mengisi perut.
Selesai makan tengahari (makan petang sebenarnya) kerja saya menyapu laman pulak. Semua daun-daun kering/sampah akan saya kumpul dan bakar dibelakang rumah. Sekali lagi saya akan ke perigi yang jauh jaraknya 4 buah rumah. Tempayan yang kosong mesti dipenuhkan semula buat digunakan pada waktu pagi nanti.
Oleh kerana masih kenyang, biasanya saya skip makan malam. Tetapi setiap kali lepas makan tidak kira siang atau malam, saya sama-sama makan atau tidak makan, mesti saya juga yang mengemas dan membasuh semua pinggan mangkuk yang digunakan.
Kadang-kadang saya terfikir, kenapalah saya saja yang disuruh membuat kerja-kerja rumah, sedangkan kakak begitu banyak masa berihat. Saya hanya lihat kakak kerjanya mencuci baju setiap hari di perigi dan menjemurnya saja. Angkat pakaian dari ampaian dan melipat baju saya juga yang dikerah. Alasannya kakak akan mengambil peperiksaan tingkatan 5 (MCE). Kakak perlu diberi ruang untuk belajar. Seingat saya entah kali yang keberapa kakak menduduki peperiksaan. Hanya mendapat sijil lulus saja. Kelas malam tak pernah missed. Setiap hari asyik dengan mendengar radio kecil yang dibeli abah untuk dia. Kakak terlalu asyik dengan lagu-lagu Hindustan, tergila-gila dengan aktor dan aktres Hindustan. Zaman tu..Manoj Kumar, Raj Kapoor, Sadhana, Nanda, Hema Malini dan entah siapa-siapa lagi semuanya kakak mesti ingat. Hingga sanggup belajar bahasa Hindi. Seagak saya mungkin itu adalah antara penyebab kakak hanya meraih sijil lulus saja setiap tahun.
Setiap hari perkara dan kerja yang sama tetap berulang. Penatnya saya tak terperi. Saya hanya dapat berehat dan mengulang kaji pelajaran pada sebelah malam ketika semua isi rumah sudah masuk tidur. Ada ketika saya tertidur di anjung rumah kerana terlalu penat.
Selalu juga saya menangis sendirian...mengenangkan nasib yang saya anggap malang sekali. Apakan daya kerana saya anak perempuan bongsu ketika itu. Bercakap lebih kena marah, ketawa pun kena marah. Saya jadi manusia pendiam, rendah diri dan terasa diri dianiaya. Mungkinkah kerana rupa paras yang tidak cantik dan berkulit gelap penyebab orang sekeliling tidak suka mendekati saya. Saya rasa amat tersisih dan tidak disayangi.
Saya selalu dipukul mak bila lambat atau tak buat kerja-kerja rumah. Sampaikan perkara remeh temeh pun saya dimarahi mak. Pernah sekali saya dipukul dengan penyapu lidi kerana terlupa mengangkat tilam yang dijemur sejak pagi, basah ditimpa hujan.
Hingga kini telah puas saya fikirkan apakah kesalahan atau dosa paling besar yang telah saya lakukan terhadap mak sendiri atau keluarga hingga saya diperlakukan seperti itu. Adakah diri saya ini mengingatkan mak tentang luka hatinya ditinggalkan suami yang terdahulu....
Hanya Allah saja yang mengetahui segala yang tersirat....