Friday, July 25, 2008

Selamat Tinggal Kawan..!

PERPISAHAN........DEMI PERPISAHAN.
Pas sorang-sorang kawan2 dah pi bersara.
Kisahnya gadis pingitan ni...(dolu dolu lah) ... Pada suatu pagi yang hening dengan menaiki bas dari TBR ke BD, bersamaan 3 Disember 1974....pertama kali saya menjejakkan kaki ke tangga pejabat Syarikat **** ** **, saya mula menjalankan tugas sebagai seorang pembantu kepada 'Company Secretary'. Sehingga kini, mungkin berkat kegigihan, keikhlasan dan ketekunan dalam segala usaha yang dilaksanakan demi tugas....setangga demi setangga jawatan penting dianugerahkan.
Selama itu jugalah berbagai peristiwa suka, duka, manis, masam dan entah apa2 lagi...terhadap diri sendiri dan kawan2 seperjuangan. Sejak kami masih anakdara/bujang pastu tu berboyfriend/bergirlfriend ... kemudian masing-masing menamatkan zaman bujang, pas sorang-sorang kawin. Tahun lagi satu....sorang-sorang amik cuti bersalin lak (yang pompuan) dan cuti kerna isteri bersalin (yang lelaki). Hari2 kami citer2 hal anak ini dan anak itu.....eh seronoknye tak terkata.
Bila anak2 dah besar, masing-masing menjemput lak nak kawinkan anakgadis dan anakbujang. Setahun kemudian menyambut pulak kehadiran cucu-cucu.
Dipendekkan citer ler (setelah senset mensed oleh penyunting) ...dari cun melecun sexi mexi..la ni dah mak aji badan temban membam (kata kak nita) A K H I R N Y A A A .............!!!!
Tup-tup lak ni kengkawan sume pergi meninggalkan pejabat ini dan juga kami2 yang masih tinggal (yg masih menunggu hari bersara kami lak).
Bagai baru sebulan lepas kami sekeluarga. Sedihnya hati, kengkawan yang sekapal dah beransur-ansur meninggalkan keluarga kami di Syarikat ini. Tahun ini saja sudah 3 orang kawan menamatkan perkhidmatan (bersara penuh).
Saya.....huhuhuhuhuh....wuuuh... (buruknya org tua nangis) sudah hampir harinya..... hanya beberapa bulaaan lagi. Tak dapat nak dibayangkan betapa sedihnya hati untuk meninggalkan sume kengkawan kat sini. Walaupun begitu, life must go on jugak kan .... cekalkan hati dan semangat untuk menghadapi hari2 depan. Dalam hati sentiasa berdoa moga2...hidupku akan tetap dirahmati selalu. Agar diriku dapat berbakti kepada orang2 yang tersayang. Dan bila lagi nak digunakan jasa baikku ini buat kengkawan yang mengenali diriku selagi 'nyawa dikandung badan' ....adooooiii ....... sayunya hatiku. Masa2 ni lah sensitifnya perasaan....!
Semangat tokma....tetap senyum...ceria!!!!

Wednesday, July 23, 2008

A glimpse into your sweet home..


Homes are not just structures with four walls made of bricks and timbers. Home is an emotion. A feeling of security, comfort, peace, about being yourself and being together with your loved ones.

Home is where memories are made - relationships are built, children and families growing together. And we belief, regardless of where you live or who you are, home is the most important and sentimental space in the whole world.

Take a close-up look at how you live, the way your family interact in your sweet home, the things they love and everyday life they live at home.


(that's what Yap Poh Choo said)

Friday, July 18, 2008

Words from a friend to all best friends.....


Don't walk behing me - I may not lead
Don't walk in front of me - I may not follow
Just walk beside me and be my friend.......

Real friends are not just there when you are sad, in trouble, and badly in need.

Real friends are also present in time of your happiness and success.

Real friendship shares and enjoy everything, suppots and loves no matter what.....!!!

Sesuatu yang tidak disangka.....

Bermulanya saya melangkah dalam keluarga 'blog' sejak bulan Mei 08 melalui penulis terkenal kita NorhayatiBerahim. Saya amat berminat kerana di blog kita boleh luahkan perasaan yang terpendam.
Lebih2 lagi manusia seperti saya, jenis yang pemalu (kalau belum kenal). Sifat terlalu segan menegur orang terlalu tebal, hingga orang kata saya ni sombong, garang macam singa, tak suka berkawan dan entah apa-apa lagi kata2 murka untuk saya.
Sebenarnya...mereka ni tak tahu dan tak kenal lagi siapa saya. Sifat seorang perempuan tu taklah saya nafikan sememangnya ada. Tau2 sajalah P...E...R...E...M...P...U...A....N!!!!.......... Sebagai mengelak dari terjebak amat ngan sifat perempuan (berleter, mengata, mengumpat, berborak, mengutuk...mcm2 lagi lah tuh ) saya lebih suka menyendiri di pejabat. Bukan tak suka bergaul ngan kawan2, saya rasa kalau berbual sekejap selepas sembahyang kat surau, terserempak di lif, berjalan sama dari tempat parking ke pejabat, sama-sama beli lauk di cafetaria...memadai untuk menjaga status silatulrahim. Dengan jiran2 pula saya suka kongsi laukpauk, apa yang saya masak walaupun sikit atau tak sedap saya tetap bagi semangkuk. Sepapan petai pun akan saya bagi bila balik dari kampung. Setakat itu sajalah sekarang ni, sebab saya surirumah yang bekerja.
Tidak saya sangka, semakin hari kenalan saya bertambah.....lebih bersemangat saya untuk menumpukan perhatian pada blog. Saya baru yakin bahawa saya juga boleh dijadikan sebagai salah sorang kawan yang baik atau yang terlalu baik. InshaAllah...!
Semoga apa-apa saja pun pengalaman saya, yang baik, boleh dijadikan tauladan kalau perlu, dan yang tidak baik dijadikan pedoman untuk mengelaknya.
Wallahualam....

Monday, July 14, 2008

'...Tiada Noktah Cinta..'

Dari CD Memori Sentimental Hit - Fauziah Latiff
Lagu ini sentiasa berkumandang, berulang-ulang, terasa seperti tak pernah jemu.... walaupun suara tidak sesedap Fauziah, 'live concert' pasti diteruskan setiap kali memandu sendirian.
" TIADA NOKTAH CINTA "
Kesepian memberi waktu padaku
Renungi saat-saat indah bersamamu
Di antara kita tak pernah
Terucap madah
Melafazkan janji setia rasa
Perpisahan ini memberi
Sejuta erti
Mengajar kita mengenali diri ini
Tak perlu ada ungkapan berbahasa
Kita sedia memakluminya
Tiada kata pembukaan
Tiada berperenggan
Tiada akhiran
Tiada ruang hati
Telah bersemadi
Tiadaku temui
Noktah cinta ini....
Oleh penyanyi : Fauziah Latiff (Penyanyi kesukaanku)

Jalan-Jalan Di Bandar Hilir, Melaka














Hansem tak 2 jejaka milik aku tuh.... (siapa lagi nak puji kan..!)





Kenangan Di Masa Lalu

Pada hari Jumaat (11 Julai 2008) kami bertiga (TokPa, Afif dan TokMa) berkesempatan pulang ke kampung sebab ada urusan keluarga yang harus dibereskan.


Saya tidak melepaskan peluang untuk menziarah sekolah tempat saya menimba ilmu. Salah satunya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Tijah, Melaka (dahulu SMK Tun Teja, entah bila pula ejaannya ditukar kepada 'Tijah').

Sememangnya sekitar kawasan sekolah telah berubah sama sekali. Namun struktur sekolah masih kekal.


Warna bangunan masih lagi warna cat yang sama. Pagar sekitar sekolah telah bertukar seperti pagar rumah kediaman. Ditambah dengan tempat letak kereta guru-guru sekolah ..... nampak terlalu sesak terasa seperti tak dapat bernafas.



Dewan sekolah masih di lokasi yang sama. Saya tidak dibenarkan masuk dalam kawasan sekolah sekiranya tiada sebarang urusan. Jadi saya lihat dari luar saja. Di dalam dewan itulah saya rajin bermain 'badminton' dan melakukan semua aktiviti persatuan Bulan Sabit Merah, Pandu Puteri dan Sejarah.

Kelas saya masa tingkatan 2 tahun 1968. Terbayang segala peristiwa suka duka semasa zaman sekolah menengah dahulu.





Satu perkara yang amat mengharukan ialah tembok batu kawasan maktab perguruan masih tetap tegoh berdiri di tempat asalnya. Di situlah tempat saya bertenggek sementara menanti ketibaan bas sekolah. Cuma terkilan tak sempat mengabadikan potretnya.



Thursday, July 3, 2008

Suatu Waktu Dulu......(2)

Selesai darjah 6 dan lulus peperiksaan agak cemerlang....saya diterima masuk ke Sekolah Menengah Tun Teja, Durian Daun, Melaka pada tahun 1967 ke tingkatan 1.

Hari pertama persekolahan saya bertolak dari rumah seawal 6.00 pagi bersama abah dengan menaiki 'teksi sapu' ke Durian Daun. Hari itu hari pertama saya ke sekolah menengah, hanya abah yang menemani saya. Itu pun abah tidak boleh tunggu lama kerana terpaksa balik bekerja semula. Mak pula tidak dapat meluangkan masa kerana sekolah tempat mak mengajar juga sibuk menerima pelajar rendah baru.

Saya tidak berkecil hati tetapi rasa sedikit sedih apabila melihat kawan-kawan dalam kelas yang sama tingkatan ditemani oleh emak dan ayah mereka. Ada juga yang datang bersama adik-beradik. Saya sedar bahawa saya telah 'ter'asuh dan diasuh agar tabah untuk menghadapi segala situasi. Saya dah terbiasa berkeadaan seperti itu. Walaupun hati saya sepi tapi masih gembira sebab dapat berkenalan dengan kawan-kawan baru. Mereka datang dari seluruh pelusuk Melaka...ada yang dari Teluk Mas, Kandang, Bukit Lintang, Bukit Beruang, Air Molek, Bukit Cina, Peringgit, Klebang Besar, Klebang Kecil, Batang Tiga dan Sungai Udang yang sejauh 12 batu dari Bandar Melaka itu pun ada.

Uniknya sekolah ini hanya menerima pelajar-pelajar perempuan saja. Murid-murid semua berbaju kurung putih dan kain berwarna merah jambu. Saya rasa bangga sebab mak mampu sediakan dua helai uniform sekolah buat saya ketika itu .

Pada tahun 60'an, kain jenis kapas adalah paling murah. Itupun mak jahit sendiri sebab tak mampu untuk diupah. Ada juga di antara kawan-kawan saya yang baju sekolah mereka dari kain jenis 'tateron' (entah betul entah tidak ejaannya saya tidak pasti). Harganya satu ela agak mahal dan ia dari jenis yang lembut dan senang digosok.

Setiap hari perjalanan pulang dari sekolah amat meletehkan. Saya perlu naik 'town bus' (hijau/putih) untuk ke stesen bas yang terletak di Jalan Hang Tuah. Dari stesyen bas saya akan naik bas 'Putt Hup' (biru/kuning) yang menuju ke Kem Trendak di Sungai Udang atau bas yang destinasinya terus ke Sungai Baru. Saya turun di Pekan Tanjung Kling dan terpaksa berjalan kaki 1 km lagi untuk sampai ke rumah. Kira-kira pukul 2.30 petang hingga 3.00 petang barulah saya sampai dirumah.

Jika ada kelas tambahan, saya dan kawan-kawan yang tidak dijemput oleh emak atau ayah mereka, akan berjalan kaki beramai-ramai sejauh 2 km untuk sampai ke stesyen bas. Kami lalu celah-celah rumah bandar yang sesak, kaki lima kedai-kedai tepi jalan besar, merentas kampong Morten dan akhirnya menyeberang Sungai Melaka terus ke stesyen bas.

Di rumah, penat saya tidak berakhir setakat itu saja....tak sempat berihat sekejap, mak dah menjerit suruh ke perigi mengambil air. Tugas saya saban hari ialah penuhkan 6 biji tempayan besar di dapur. Entah berapa kali saya akan berulang alik mengangkut air dengan mengandar dua biji tin minyak gas. Air ini yang kami gunakan untuk memasak, mencuci pinggan mangkuk dan lain-lain. Air minuman saya angkut dari paip rumah jiran yang mak beli dan bayar bulanan. Lepas itu saya akan bantu mak memasak. Jam 4.00 petang barulah kami dapat mengisi perut.

Selesai makan tengahari (makan petang sebenarnya) kerja saya menyapu laman pulak. Semua daun-daun kering/sampah akan saya kumpul dan bakar dibelakang rumah. Sekali lagi saya akan ke perigi yang jauh jaraknya 4 buah rumah. Tempayan yang kosong mesti dipenuhkan semula buat digunakan pada waktu pagi nanti.

Oleh kerana masih kenyang, biasanya saya skip makan malam. Tetapi setiap kali lepas makan tidak kira siang atau malam, saya sama-sama makan atau tidak makan, mesti saya juga yang mengemas dan membasuh semua pinggan mangkuk yang digunakan.

Kadang-kadang saya terfikir, kenapalah saya saja yang disuruh membuat kerja-kerja rumah, sedangkan kakak begitu banyak masa berihat. Saya hanya lihat kakak kerjanya mencuci baju setiap hari di perigi dan menjemurnya saja. Angkat pakaian dari ampaian dan melipat baju saya juga yang dikerah. Alasannya kakak akan mengambil peperiksaan tingkatan 5 (MCE). Kakak perlu diberi ruang untuk belajar. Seingat saya entah kali yang keberapa kakak menduduki peperiksaan. Hanya mendapat sijil lulus saja. Kelas malam tak pernah missed. Setiap hari asyik dengan mendengar radio kecil yang dibeli abah untuk dia. Kakak terlalu asyik dengan lagu-lagu Hindustan, tergila-gila dengan aktor dan aktres Hindustan. Zaman tu..Manoj Kumar, Raj Kapoor, Sadhana, Nanda, Hema Malini dan entah siapa-siapa lagi semuanya kakak mesti ingat. Hingga sanggup belajar bahasa Hindi. Seagak saya mungkin itu adalah antara penyebab kakak hanya meraih sijil lulus saja setiap tahun.

Setiap hari perkara dan kerja yang sama tetap berulang. Penatnya saya tak terperi. Saya hanya dapat berehat dan mengulang kaji pelajaran pada sebelah malam ketika semua isi rumah sudah masuk tidur. Ada ketika saya tertidur di anjung rumah kerana terlalu penat.

Selalu juga saya menangis sendirian...mengenangkan nasib yang saya anggap malang sekali. Apakan daya kerana saya anak perempuan bongsu ketika itu. Bercakap lebih kena marah, ketawa pun kena marah. Saya jadi manusia pendiam, rendah diri dan terasa diri dianiaya. Mungkinkah kerana rupa paras yang tidak cantik dan berkulit gelap penyebab orang sekeliling tidak suka mendekati saya. Saya rasa amat tersisih dan tidak disayangi.

Saya selalu dipukul mak bila lambat atau tak buat kerja-kerja rumah. Sampaikan perkara remeh temeh pun saya dimarahi mak. Pernah sekali saya dipukul dengan penyapu lidi kerana terlupa mengangkat tilam yang dijemur sejak pagi, basah ditimpa hujan.
Hingga kini telah puas saya fikirkan apakah kesalahan atau dosa paling besar yang telah saya lakukan terhadap mak sendiri atau keluarga hingga saya diperlakukan seperti itu. Adakah diri saya ini mengingatkan mak tentang luka hatinya ditinggalkan suami yang terdahulu....
Hanya Allah saja yang mengetahui segala yang tersirat....

Thursday, June 26, 2008

Suatu Waktu Dulu......(1)

Masa itu umur saya 10 tahun, Acik (abang saya) sudah darjah 6 belajar di Sekolah Rendah Terengkera, Melaka, sebuah sekolah aliran Inggeris sepenuhnya pada masa itu. Saya dan Acik memang kamcing (rapat)....kemana saja Acik pergi, di situ adanya saya mengekor. Dengan rambut dipotong pendek seperti lelaki oleh mak, kelakuan saya pun jadi kasar seperti lelaki. Pokok mana yang tidak saya panjat...pokok kelapa, pokok nangka, pokok rambutan, pokok jambu dan semua jenis pokok asal boleh dipanjat, saya akan panjat.
Dulu keluarga kami selalu berpindah-pindah rumah...kerana hidup susah ketika itu dan mak pula seorang guru selalu dipindahkan ke sekolah lain. Suatu ketika mak dan abah menyewa sebuah rumah papan satu bilik tidur dan ruang dapur di Pantai Kundur, Melaka. Seronoknya rumah tersebut dibina betul-betul ditepi pantai.
Saban hari saya akan duduk ditangga rumah menghadap laut menunggu Acik pulang dari sekolah. Kadang-kadang tak sempat makan tengahari Acik dah tarik tangan saya berlari ke gigi air dengan membawa sehelai baju kurung lama mak. Nak tahu apa kami nak buat dengan baju buruk mak tu....hah...ini yang seronoknya jadi kanak-kanak.
Kami berdua mengepung anak-anak ikan bilis setiap kali air laut pasang. Acik pegang satu bucu kain dan saya pegang bucu yang bertentangan. Kami mengiring menongkah air laut menjerat anak ikan bilis. Kadang-kadang kami dapat tangkap hingga penuh satu baldi kecil. Ada kalanya kami mencari remis. Cuma kuis-kuis dengan kaki... dapatlah kumpul sampai penuh satu pot susu. Kulit badan kami jadi hangus sebab berjemur hingga kepetang. Anak ikan bilis inilah yang selalu mak masak buat pais ikan. Remis pula mak akan rebus saja dan tidak akan ada lauk lain sekiranya ada pais ikan bilis yang dimakan dengan nasi.
Mak dan abah sentiasa berjimat, kami sekeluarga hidup amat susah ketika itu. Gaji mak yang tidak seberapa setelah dipotong ansuran pinjaman dari Persatuan Guru-Guru dan bayar sewa rumah, berapa sajalah yang tinggal. Pinjaman itu mak terpaksa ambil untuk membiayai pelajaran Along ke luar negara (London). Along juga rajin bekerja sambilan buat perbelanjaan harian sendiri di London.
Tahun 60'an duit berjumlah $3,000 amat besar nilainya jika dibandingkan dengan nilai matawang sekarang. Abah hanya bekerja sebagai konduktor bas dengan diberi gaji harian atas kadar komisen. Paling maksima abah akan terima $2 sehari. Sekarang umpama RM20. Bayangkanlah kesusahan hidup kami. Mak dan abah terpaksa berjimat untuk menghantar duit belanja pada Along. Abah pergi kerja berbekalkan bubur nasi bersama ikan bilis dan kacang goreng. Kadang-kadang kami terpaksa makan nasi dengan telur goreng bersama 'cili patah' (cili hidup hijau dicampur dengan kicap) kerana komisen abah tak banyak.
Setiap hari mak akan berkayuh sejauh 5 batu untuk ke Sekolah Kebangsaan Lereh. Saya akan membonceng basikal mak sekiranya tiada banyak buku ringkasan yang perlu dibawa. Kadang-kadang saya terpaksa jalan kaki bersama kawan-kawan yang satu sekolah. Setiap hari saya juga akan bawa bekal. Cuma nasi dengan ikan kembong goreng dicurah kicap yang dibungkus dalam bekas 'upih pinang'.
Kalau ada bekalan mak hanya beri saya duit belanja 5 sen dan saya akan dapat 20 sen tanpa bekal . Tetapi Acik mak beri $1 atau $2 sehari sebab bersekolah dalam bandar katanya. Mak sememangnya melebihkan keperluan anak-anak lelakinya. Zaman dulu...anak lelaki itu penting dalam keluarga. Saya yang paling kecil amat terasa sekali. Ketika makan pun mak akan beri ikan seekor pada Acik tapi saya hanya dapat merasa ikan yang telah dikerat dua.
Dalam bab pakaian saya hanya punya sehelai baju sekolah yang perlu dibasuh selepas diguna dua kali. Kasut sekolah pula selagi boleh dipakai saya akan pakai, kalau koyak akan dijahit oleh mak. Baju harian saya ialah baju kakak yang telah dikecilkan untuk saya pakai.
Paling menyedihkan bila menjelang Hari Raya. Baju raya kakak tahun terdahulu akan diubahsuai oleh mak buat saya pakai pagi raya kelak. Kakak sendiri akan dibelikannya baju baru. Walaupun baju untuk kakak yang dibeli mak itu murah, pokoknya baju baru untuk hari raya.
Seingat saya juga satu minggu sebelum bulan Ramadhan tiba, mak akan kebandar Melaka untuk beli kupang kering sehingg 5/6 kati. Sambal kering kupang menjadi menu kami setiap sahor di bulan puasa. Menjelang raya, mak dan abah akan kebandar sekali lagi untuk membeli 5 tandan pisang, tepung gandum, serbuk kopi dan gula pasir. Setiap tetamu yang datang bertandang akan kami jamu dengan pisang goreng dan air kopi 'O'. Begitulah buat 5 tahun berturut-turut kami berhari raya hanya dengan goreng pisang dan kopi 'O', tiada kueh mueh atau biskut yang enak-enak.