Masa itu umur saya 10 tahun, Acik (abang saya) sudah darjah 6 belajar di Sekolah Rendah Terengkera, Melaka, sebuah sekolah aliran Inggeris sepenuhnya pada masa itu. Saya dan Acik memang kamcing (rapat)....kemana saja Acik pergi, di situ adanya saya mengekor. Dengan rambut dipotong pendek seperti lelaki oleh mak, kelakuan saya pun jadi kasar seperti lelaki. Pokok mana yang tidak saya panjat...pokok kelapa, pokok nangka, pokok rambutan, pokok jambu dan semua jenis pokok asal boleh dipanjat, saya akan panjat.
Dulu keluarga kami selalu berpindah-pindah rumah...kerana hidup susah ketika itu dan mak pula seorang guru selalu dipindahkan ke sekolah lain. Suatu ketika mak dan abah menyewa sebuah rumah papan satu bilik tidur dan ruang dapur di Pantai Kundur, Melaka. Seronoknya rumah tersebut dibina betul-betul ditepi pantai.
Saban hari saya akan duduk ditangga rumah menghadap laut menunggu Acik pulang dari sekolah. Kadang-kadang tak sempat makan tengahari Acik dah tarik tangan saya berlari ke gigi air dengan membawa sehelai baju kurung lama mak. Nak tahu apa kami nak buat dengan baju buruk mak tu....hah...ini yang seronoknya jadi kanak-kanak.
Kami berdua mengepung anak-anak ikan bilis setiap kali air laut pasang. Acik pegang satu bucu kain dan saya pegang bucu yang bertentangan. Kami mengiring menongkah air laut menjerat anak ikan bilis. Kadang-kadang kami dapat tangkap hingga penuh satu baldi kecil. Ada kalanya kami mencari remis. Cuma kuis-kuis dengan kaki... dapatlah kumpul sampai penuh satu pot susu. Kulit badan kami jadi hangus sebab berjemur hingga kepetang. Anak ikan bilis inilah yang selalu mak masak buat pais ikan. Remis pula mak akan rebus saja dan tidak akan ada lauk lain sekiranya ada pais ikan bilis yang dimakan dengan nasi.
Mak dan abah sentiasa berjimat, kami sekeluarga hidup amat susah ketika itu. Gaji mak yang tidak seberapa setelah dipotong ansuran pinjaman dari Persatuan Guru-Guru dan bayar sewa rumah, berapa sajalah yang tinggal. Pinjaman itu mak terpaksa ambil untuk membiayai pelajaran Along ke luar negara (London). Along juga rajin bekerja sambilan buat perbelanjaan harian sendiri di London.
Tahun 60'an duit berjumlah $3,000 amat besar nilainya jika dibandingkan dengan nilai matawang sekarang. Abah hanya bekerja sebagai konduktor bas dengan diberi gaji harian atas kadar komisen. Paling maksima abah akan terima $2 sehari. Sekarang umpama RM20. Bayangkanlah kesusahan hidup kami. Mak dan abah terpaksa berjimat untuk menghantar duit belanja pada Along. Abah pergi kerja berbekalkan bubur nasi bersama ikan bilis dan kacang goreng. Kadang-kadang kami terpaksa makan nasi dengan telur goreng bersama 'cili patah' (cili hidup hijau dicampur dengan kicap) kerana komisen abah tak banyak.
Setiap hari mak akan berkayuh sejauh 5 batu untuk ke Sekolah Kebangsaan Lereh. Saya akan membonceng basikal mak sekiranya tiada banyak buku ringkasan yang perlu dibawa. Kadang-kadang saya terpaksa jalan kaki bersama kawan-kawan yang satu sekolah. Setiap hari saya juga akan bawa bekal. Cuma nasi dengan ikan kembong goreng dicurah kicap yang dibungkus dalam bekas 'upih pinang'.
Kalau ada bekalan mak hanya beri saya duit belanja 5 sen dan saya akan dapat 20 sen tanpa bekal . Tetapi Acik mak beri $1 atau $2 sehari sebab bersekolah dalam bandar katanya. Mak sememangnya melebihkan keperluan anak-anak lelakinya. Zaman dulu...anak lelaki itu penting dalam keluarga. Saya yang paling kecil amat terasa sekali. Ketika makan pun mak akan beri ikan seekor pada Acik tapi saya hanya dapat merasa ikan yang telah dikerat dua.
Dalam bab pakaian saya hanya punya sehelai baju sekolah yang perlu dibasuh selepas diguna dua kali. Kasut sekolah pula selagi boleh dipakai saya akan pakai, kalau koyak akan dijahit oleh mak. Baju harian saya ialah baju kakak yang telah dikecilkan untuk saya pakai.
Paling menyedihkan bila menjelang Hari Raya. Baju raya kakak tahun terdahulu akan diubahsuai oleh mak buat saya pakai pagi raya kelak. Kakak sendiri akan dibelikannya baju baru. Walaupun baju untuk kakak yang dibeli mak itu murah, pokoknya baju baru untuk hari raya.
Seingat saya juga satu minggu sebelum bulan Ramadhan tiba, mak akan kebandar Melaka untuk beli kupang kering sehingg 5/6 kati. Sambal kering kupang menjadi menu kami setiap sahor di bulan puasa. Menjelang raya, mak dan abah akan kebandar sekali lagi untuk membeli 5 tandan pisang, tepung gandum, serbuk kopi dan gula pasir. Setiap tetamu yang datang bertandang akan kami jamu dengan pisang goreng dan air kopi 'O'. Begitulah buat 5 tahun berturut-turut kami berhari raya hanya dengan goreng pisang dan kopi 'O', tiada kueh mueh atau biskut yang enak-enak.