Friday, August 1, 2008

Suatu Waktu Dulu.......(3)

Ketika itu umurku baru 13 tahun, dalam Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Tun Teja (sekarang ditukar 'Tijah').
Waktu ini, mak + abah berpakat menyewa sekeping tanah kampung, lebihkurang 4,000 kaki persegi luasnya untuk dibuat rumah. Sebuah rumah papan didirikan berbentuk segi empat, dindingnya hanya mampu ditutup tiga ruang dengan dua tingkap. Satu ruang lagi, bertindak sebagai pintu keluar masuk. Bila malam, ruang yang terbuka akan ditutup dengan kain tirai yang dibuat daripada guni tepung. Mak/abah awal2 dah berjanji dengan taukeh kedai runcit kat kampung untuk membeli semua kain-kain guni tepung yang kosong ini. Taukeh Cina kedai tu bersaudara pulak dengan abah jadi senang sedikit urusannya.
Kain-kain guni ni tadi dicabut benangnya dulu untuk menjadi sekeping kain yang lebar, pastu kami rendam dan basuh berkali-kali sampai kesan tepung hilang. Kain-kain ini pulak disambung/dijahit dengan tangan selai-selai dengan benang-benang guni tadi. Berhari-hari kami buat. Waktu malam kami akan turunkan tirai menjadi ruang bilik dan juga pintu. Waktu siang kami gulung semula. Waktu tu memang tak ada letrik, kami hanya gunakan pelita sumbu minyak tanah (minyak gas).
Dapur masak lak, abah buat pondok kecil dengan dua tungku batu berbumbungkan daun-daun buluh yang diikat dengan upeh pinang. Tiang dan palang dapur abah ambil dari batang dan dahan pokok getah. Sebuah pangkin kecil dari susunan batang2 buluh dibuat bersebelahan dapur untuk tempat mencuci dan meletak tempayan2 air.
Makanan dan air, mak masak sebelum Magrib kemudian simpan di satu sudut rumah sebelum makan malam selepas Isyak. Menjadi tugas saya untuk membersihkan semua perkakas kotor sebelum ke sekolah seawal jam 5pagi esoknya.
Balik dari sekolah (tugas saya lagi) kena angkut air dari perigi bawah bukit, 500 meter jauhnya dari rumah. Enam tempayan besar yang perlu saya penuhkan setiap hari. Turun naik bukit dengan mengandar air dalam 2 biji tin minyak gas (yg telah dibersihkan). Ada kalanya bila berihat ditepi bukit, terfikir dibenak saya, "kenapalah semalang ini nasibku..!"
Kami sebenarnya berlima beradik, abang sulung ke London melanjutkan pelajaran...(rasanya abanglah anak melayu yang bertuah dapat belajar keluar negara pada masa tu. Mak berusaha mendapatkan pinjaman dari Koperasi Guru-Guru Melayu Melaka). Kakak kedua tinggal ngan mak saudara. Yang tinggal sama-sama mak hanya saya, abang kedua dan kakak pertama. Pastu mak melahirkan dua adik perempuan lagi sebelum kami berpindah pulak ke bawah bukit.
Satu peristiwa yang tak dapat saya lupakan...hari tu mak ke bandar Melaka. Tak tau saya apa urusannya sebab kalau ditanya nanti..mak pasti naik marah dan akan dijawab dengan maki hamun atau penyepak aje yang saya dapat. Kata mak urusan orang tua tidak boleh diambil tahu. Sebelum pergi mak pesan..suruh angkat jemuran tilam dan kain baju sebelum pukul 5 petang. Kain baju lak mesti siap lipat, tilam digulung dan simpan ditempat biasa. Pada hari yang sama kakak pulak ada kelas malam.
Bila mak tak ada dirumah, memang saya suka sebab masa itulah saja saya dapat bermain-main dengan rakan2 sebaya. Mak takkan biarkan saya duduk begitu saja melainkan ada2 aje kerja yang disuruhkannya. Habis daya cabut rumput, sapu laman, siram pokok, beri makan ayam, basuh pinggan, cuci lantai dan entah apa2 lagi. Sehingga dalam tidur pun saya tidak pernah sempat mimpi sebab terlalu penat dan keletihan.
Inilah masa kami dapat bermain-main. Tempat paling kami suka pergi bermain ditepi hutan hujung kampung mencari buah cemperai dan petik buah kundang manis. Kami main sorok-sorok disitu. Tak sedar hari dah petang dan cuaca sedikit mendung. Gesa-gesa saya berlari balik teringat pesan mak tadi. Belum sampai rumah, hujan dah turun renyai2. Sempat semua kain baju saya angkat tapi tilam terkena hujan basah kuyup jadinya. Hati saya berdebar2...takut, cemas dan macam2 lagi. Bila mak balik.....tambah kecut perut saya.
Perkara yang saya amat takut betul2 terjadi. Mak naik berang, marah dan maki hamun saya seadanya. Sepak terajang cubit semua hinggap dibadan. Allah saja yang tahu sakitnya. Hanya airmata yang keluar tanpa suara. Berbunyi suara je, lagi teruk saya dipukul mak. Masih tak puas hati lagi, mak ambil penyapu laman (penyapu lidi) dibalunnya saya sampai puas. Saya hanya mampu menangis dan menjerit minta ampun dari mak sambil memeluk kaki abah. Saya merayu ngan mak...'ami tak buat lagi mak...jangan pukul ami lagi mak....saaakiiit mak!!!' Abah tak dapat buat apa2, sebab abah tak mahu menambah lagi berang mak....abah hanya abah tiri saya je. Mak akan lakukan apa saja kalau dalam keadaan marah.
Saya dapat lihat abah pun sama meleleh air matanya melihat keadaan saya teruk dipukul oleh mak. Abah terus tegur mak...'kenapa pukul anak sampai begitu...bukannya tak boleh tido kalau tak ada tilam'. Mak langsung terkedu dan mak diam lepas tu tak bercakap-cakap. Mak terus berhenti pukul saya.
Badan saya jadi lembik, lemah, sakit, lebam-lebam, calar-calar kena balun dengan batang penyapu. Abahlah yang tolong tuam ngan air panas. Sepanjang malam hati saya sayu....'betulke saya ni anak kandung mak, kenapa mak terlalu garang pada saya?'. Saya masih menangis senyap2 hingga tertidor. Pergi sekolah esoknya dengan bengkak mata, malu ngan kawan2 saya katakan kena gigit semut api.
Lepas kejadian tu, seminggu saya menyendiri dan tak mahu cakap ngan sesiapa pun lebih-lebih lagi mak, tapi saya juga tak berani lawan cakap mak, saya tetap buat apa aje yang disuruh tanpa bercakap sepatah pun. Tiada sesiapa ketika itu untuk saya mengadu.
Hingga sekarang saya masih tak faham dan tak tahu sebabnya...KENAPA MAK SAYA TERLALU DAN TERSANGAT2 GARANG.....lebih2 lagi terhadap diri saya !!!
Tapi sekarang....sejak dulu lagi saya telah pun memaafkan mak...saya terlalu sayangkan mak! lebih-lebih lagi 'ayah tiri' yang saya anggap ayah kandung sendiri.